ALOR SETAR 10 Mac – Provokasi demi provokasi serta kebencian yang ditimbulkan kepemimpinan DAP-Pakatan Harapan (PH) dengan tuduhan liar dan karut menunjukkan parti itu takut sekiranya mereka kehilangan kuasa.
Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mendakwa, kenyataan daripada pimpinan DAP langsung tidak membantu dalam pembentukan masyarakat majmuk dan keharmonian hidup berbilang bangsa.
“DAP-PH sebenarnya amat takut kehilangan kuasa setelah melihat Pas dan Barisan Nasional

(BN) bertemu bagi membincangkan hal penyatuan ummah dan memelihara kesucian Islam.
“Itulah kerja mereka, asyik menimbulkan provokasi kebencian dalam kalangan rakyat dengan membuat tuduhan-tuduhan liar dan karut.
“Sebaliknya, apa yang perlu dikhuatirkan oleh mereka ialah bingkai masa untuk menunaikan janji manifesto seperti diumumkan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sejak kerjasama UMNO dan Pas diumumkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh kerjasama itu kononnya ‘perang’ terhadap orang bukan Melayu manakala Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilaporkan mendakwa kerjasama itu akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fakhruddin berkata, Pas juga meneliti lontaran idea kerajaan ‘Penyatuan Ummah’ yang disuarakan oleh kepemimpinan tertinggi BN semalam, selain tidak gopoh membuat sebarang keputusan.
“Apa sahaja syor yang dikemukakan, kami (Pas Kedah) sentiasa merujuk kepada kepemimpinan Pas Pusat bagi melahirkan keputusan yang dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Pas negeri amat bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya dua daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PH di Kedah beralih arah yang secara tidak langsung bakal menyaksikan perubahan politik yang mendadak.











