Tidak langgar demokrasi - Utusan Malaysia

Tidak langgar demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 10 Mac – Kerjasama politik antara UMNO dan Pas tidak wajar disamakan de­ngan politik Taliban dengan sewenang-wenangnya kerana konsep se­perti itu tidak menyalahi amalan demokrasi.

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Ali jus­teru berharap para pemimpin partinya lebih bersikap waras dan tidak terjebak dengan sikap menyemai benih kebencian dan prasangka antara kaum.

Sheikh Umar percaya, sesiapa pun tidak mahu mana-mana parti politik di negara ini mengamalkan politik tohmahan sedemikian sebaliknya menjunjung politik dasar, polisi dan nilai untuk kesejahteraan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keinginan UMNO dan Pas untuk me­ngadakan kerjasama politik merupakan hak mereka dan kita sebagai kerajaan ha­rus me­numpukan perhatian sepenuh­nya dalam melaksanakan agenda pem­baharuan kepada rakyat.

“Kita sebagai pe­mimpin dari DAP bukan mewakili kaum Cina sahaja, sebaliknya kita mewakili seluruh rakyat merentasi sempadan bangsa dan agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, DAP yang sering ditohmah sebagai parti cauvinis harus sedar bahawa dengan hujah ekstrem tidak akan membawa parti itu ke mana-mana.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­­nerangan, Pembangunan Keusa­hawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri itu berkata, keadaan tersebut akan meletakkan DAP pada kedudukan paling sukar untuk mengu­bati imej yang dimomokkan selama ini.

“Sebagaimana kita tidak mahu dimomokkan dengan ejekan komunis oleh musuh politik, kita juga tidak wajar melabel pihak lain sebagai Taliban, Kita harus matang dan keluar daripada perangkap pemikiran cetek dan jahil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini