KUALA LUMPUR 10 Mac – Dua lelaki warga Singapura antara pengunjung ditahan kerana memiliki dadah dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Kompleks Sun, Bukit Bintang di sini, awal pagi ini.
Serbuan pada pukul 2.45 pagi itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang membongkar kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung pusat hiburan terbabit.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki warga Singapura itu ditahan bersama dua lelaki tempatan dan empat pelayan pelanggan (GRO) warga China ketika sedang asyik berhibur di dalam sebuah bilik di pusat hiburan tersebut.
“Setelah menggunakan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9), kita menemui lima botol air yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis MDMA seberat 2.2 gram dan serbuk disyaki ketamin seberat 0.4 gram dalam milikan mereka.
“Lapan individu tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazlan memaklumkan, pihaknya juga menahan 36 individu termasuk sembilan wanita yang didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan di lokasi serbuan.
“Selain itu, kita juga mendapati pusat hiburan tersebut menyediakan GRO warga asing kepada pengunjung dengan penahanan 15 wanita yang terdiri daripada 10 warga China dan lima warga Vietnam.
“Kesemua tangkapan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya.











