KUALA TERENGGANU 10 Mac – Pengalaman terjatuh buat kali pertama dari kerbau ternakan bapanya pagi semalam tidak melemahkan semangat Muhammad Syukur Khamis, 14, untuk terus bersahabat dengan haiwan kesayangannya itu.
Muhammad Syukur yang terkenal dengan jolokan Syukur Kampung Boy berkata, tiada istilah serik atau takut kejadian sama berulang sebaliknya, dia akan tetap meneruskan aktiviti rutin bersama kerbau namun, dengan lebih berhati-hati.
Katanya, ketika kejadian dia bersama empat rakannya bermain di atas kerbau selepas selesai sesi fotografi pada pukul 7 pagi namun, disebabkan tersilap langkah dia terjatuh tanpa sempat berpaut pada haiwan berkenaan kerana licin.
“Tak sempat nak pegang kerbau sebab licin. Kepala jatuh dulu. Masa jatuh kepala sakit dan pandangan pun gelap sekejap, sedar-sedar saya sudah ada dalam kereta.
“Walaupun jatuh tetapi saya tetap sayang kerbau dan nak main lagi dengan kerbau. Saya tak serik dan akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya ketika ditemui di Wad 2, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Muhammad Syukur dikejarkan ke HSNZ kira-kira pukul 9 malam tadi selepas keluarga melihat keadaannya yang bertambah teruk apabila mengalami gejala muntah sebanyak empat kali dan pening selepas kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Muhammad Syukur berterima kasih di atas keprihatinan orang ramai yang turut mendoakan kesihatannya kembali pulih dan dia kini dibenarkan pulang ke rumah pagi ini dengan diberikan cuti sakit selama empat hari hingga Selasa ini.
Sementara itu, Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dijalankan ke atas Muhammad Syukur tidak menemukan sebarang pendarahan pada otak pelajar berkenaan.
Beliau berkata, pada mulanya pihak hospital mengesyaki pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu mengalami gegaran otak (cerebral concussion) susulan kejadian tersebut namun, hasil pemeriksaan yang dilakukan adalah normal dan tiada kesan serius.
“Memandangkan tiada pendarahan yang kita takuti itu jadi, adik Muhammad Syukur dirawat sebagai konservatif sahaja, cuma diberikan ubat tahan sakit dan pemantauan mendapati keadaannya telah bertambah baik,” katanya.











