JAKARTA 10 Mac – Jurucakap Pasukan Kempen Nasional (TKN) Joko Widodo (Jokowi)-Ma’ruf Amin, Irma Suryani Chaniago mendakwa calon Presiden, Prabowo Subianto sebagai seorang penipu dan sering memungkiri janji.
Memetik laporan CCN Indonesia, Irma mendakwa ahli politik itu berkaitan kegagalannya menjelaskan bayaran jual beli saham bernilai 52 bilion rupiah (RM14,853,754).
Dakwanya, perbuatan Prabowo mengakibatkannya didakwa secara sivil di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan.
“Itu adalah contoh pemimpin yang memungkiri janji dan berbohong,” dakwanya.
Irma yang juga ahli politik Parti Nasdem kecewa dengan sikap Prabowo yang memungkiri janji itu.
Pada pandangannya, janji merupakan perkara yang harus ditepati kerana jika tidak, akan merugikan pihak lain.
“Sikap memungkiri janji dan menyusahkan orang lain itu biasanya menjadi amalan dan amalan itu sukar diubah,” jelasnya.
Pada masa yang sama Irma berkata, pihaknya tidak dapat membayangkan apa akan berlaku dengan masa depan Indonesia sekiranya Prabowo terpilih sebagai Presiden menerusi pilihan raya Presiden (Pilpres) 2019.
Merujuk kepada sikap Prabowo yang mungkir janji, Irma mengaku tidak yakin Prabowo dapat mentadbir Indonesia lebih baik berbanding Jokowi.
“Jika dalam perniagaan beliau boleh melakukan kesalahan seperti ini, bagaimana pula beliau mentadbir negara satu hari nanti?” soalnya.
Dalam pada itu, Irma menegaskan amalan tidak menepati janji adalah berbeza dengan kegagalan seseorang mencapai matlamat dalam pekerjaan.
Menurutnya, seseorang itu tidak dianggap sebagai pembohong jika tidak mencapai sasaran dalam tugasan.
“Berbeza dengan gagal mencapai sasaran dalam pekerjaan, situasi itu sama sekali bukan satu pembohongan kerana itu merugikan sesiapa,” tambahnya.











