JOHOR BAHRU 10 Mac – Jumlah mangsa yang terhidu gas kimia dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Khamis lalu kini meningkat menjadi 82 orang.
Pertambahan tersebut mencatatkan tiga mangsa baharu berbanding 79 mangsa semalam dan jumlah tersebut adalah dari Khamis lalu hingga hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, daripada jumlah 82 mangsa itu, 59 dimasukkan dalam wad manakala 23 lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
“Daripada 59 mangsa tersebut, 34 mangsa sudah keluar dari wad manakala bakinya iaitu 25 mangsa masih lagi dirawat di HSI iaitu 18 di wad biasa dan tujuh lagi masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khamis lalu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di sini ditutup ekoran 35 mangsa terhidu bahan kimia dibuang secara haram di Sungai Kim Kim kira-kira 500 meter dari kedua-dua sekolah itu. – UTUSAN ONLINE











