KUALA KANGSAR 10 Mac – Kerjasama di antara UMNO dan Pas diperkukuhkan lagi menerusi perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan Pemuda UMNO dan Pemuda Pas Perak iaitu pertama kali diadakan selepas 60 tahun di sini hari ini.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Mini Kuala Kangsar di sini turut disertai oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Turut serta ialah Ketua Pemuda UMNO Perak, Ariff Majid dan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd. Akmal Majid. Perlawanan berkesudahan pasukan Pemuda Pas menang 4-1.
Sementara itu, Mohd. Akmal berkata, perlawanan bola persahabatan di antara UMNO dan Pas hari ini kali pertama diadakan selepas 60 tahun.
Menurutnya, ia merupakan satu permulaan baik ke arah kerjasama yang lebih erat di antara Pas dan UMNO.
“Untuk Pemuda, kebiasaannya hubungan bermula di padang bola sepak, sesuai dengan jiwa orang muda dan program ini akan diteruskan di peringkat bahagian. Mudah-mudahan program seumpama ini akan berkekalan untuk mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua parti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ariff berkata, Pemuda UMNO Perak mengucapkan terima kasih dan berbesar hati di atas jemputan Pemuda Pas Perak untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu.
“Diharapkan lebih banyak program dapat dianjurkan selepas ini untuk mengeratkan hubungan di antara kedua-dua buah parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











