UMNO-Pas perlu berjiwa besar - Utusan Malaysia

UMNO-Pas perlu berjiwa besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 10 Mac – Pemimpin di keempat-empat negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan Pas perlu berjiwa besar sekiranya mahu bekerjasama dalam pakatan baharu yang dikenali sebagai kerajaan ‘Penyatuan Ummah’.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, sikap itu adalah satu kemestian bagi membuktikan manifestasi penyatuan ummah yang telah diusahakan selama ini.

“Kerajaan campuran antara BN dan Pas adalah satu tawaran yang baik kepada rakyat bagi menunjukkan satu kesedaran kepada umat Melayu Islam dalam membela agama dan bangsa,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas menjalinkan kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas, kedua-kedua parti itu terus mengorak langkah apabila UMNO berhasrat mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan ‘Penyatuan Ummah’ di empat buah negeri yang kini ditadbir BN dan Pas.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, hasrat itu telah dibincangkan dengan Pas pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti, baru-baru ini dan ia masih di peringkat cadangan sebelum tindakan lanjut.

Mengenai laungan Mohamad yang mahu ‘menggoncangkan’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah dan Perak yang mempunyai perbezaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kecil, Mohamad Fadzil berkata:

“Kita yakin dalam PH sekarang, gabungan parti mereka saling tidak puas hati..sudah pasti perasaan tak puas hati itu akan dijadikan modal untuk kita goncangkan mereka supaya mereka tidak senang duduk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa kerjasama UMNO dan Pas telah mengisytiharkan perang kepada bukan Melayu adalah biadab dan tidak bertanggungjawab.

Ujarnya, sikap Setiausaha Agung DAP itu jelas mencerminkan dirinya sebagai seorang yang pendendam dan iri hati terhadap kerjasama antara dua parti orang Melayu itu.

“Beliau seperti kurang senang melihat hubungan baik yang semakin kukuh antara kedua-dua parti ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini