PUTRAJAYA 10 Mac – Pihak pengurusan Kementerian Pendidikan diarah untuk menyiasat dan meneliti dengan serta-merta kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) di sini akibat ribut kencang semalam.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihak kementerian juga diminta meneliti bantuan segera untuk disalurkan kepada sekolah terlibat.
“Semalam telah berlaku kejadian ribut dan angin kencang di Putrajaya, antara kawasan yang terjejas ialah Presint 9 dan Presint 11.
“Saya turut berdukacita apabila mengetahui SMK Presint 11 (1) mengalami kerosakan disebabkan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Maszlee, beliau juga ingin mengucapkan tahniah kepada guru-guru SMK Presint 11 (1) kerana sanggup mengorbankan cuti hujung minggu untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah berkenaan.
“Saya begitu terharu dengan pengorbanan para guru ini dan marilah kita semua bersama-sama mendoakan kesejahteraan warga sekolah ini di masa hadapan,” katanya.
Semalam, beberapa kawasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini dilanda ribut kencang pada pukul 6 petang sehingga menyebabkan pokok tumbang malah kejadian itu turut menyebabkan beberapa cermin pintu di Masjid Putra pecah akibat dibadai angin kuat. – UTUSAN ONLINE











