Gesa kerajaan bertindak sewajarnya - Utusan Malaysia

Gesa kerajaan bertindak sewajarnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Mac – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menolak sekeras-kerasnya himpunan penyokong lesbian, gay, beseksual dan transgender (LGBT) atas nama Hari Wanita Sedunia oleh sebuah kumpulan yang berarak di ibu kota, semalam.

Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, perbuatan itu bukan sahaja bertentangan dengan dasar kerajaan malah bercanggah dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan budaya timur yang menjadi acuan hidup dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Justeru, beliau mengesa kerajaan bertindak dengan sewajarnya agar kumpulan itu tidak menimbulkan sebarang kekacauan sosial yang boleh menjejaskan ketertiban masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, LGBT secara terang-terang mempamerkan kewujudan mereka dan mahu mempengaruhi pandangan rakyat atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi.

“Slogan  ‘Hidup LGBT’ yang dilaungkan dalam perarakan itu sangat memalukan dan cuba menunjukkan mereka berani menghadirkan suara secara terbuka atas nama Hari Wanita. Sesungguhnya kumpulan ini meraih kesempatan Hari Wanita Sedunia hanya untuk berkumpul bersama mereka yang berarak untuk menyambut hari tersebut, ini adalah tindakan oportunis.

“Majoriti warganegara ini sama sekali tidak dapat menerima konsep hidup songsang yang digagaskan dari barat itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, dalam satu perarakan Women’s March, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan tersebut.

Walaupun perarakan itu bertujuan meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut semalam, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemari perarakan tersebut. 

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, pihaknya membantah percubaan kumpulan tersebut kerana tidak menghormati nilai, budaya dan kerukunan hidup beragama yang disepakati rakyat negara ini.

Beliau malah mempersoal manfaat diperoleh kumpulan itu yang bersedia menjadi alat propaganda kepada gaya hidup barat dan sama sekali tidak produktif untuk negara.

“Sementara semua pihak sedang bertungkus lumus menghapuskan penyelewengan dalam urus kelola negara menangani isu kos sara hidup, kenapa pula kumpulan ini beriya-iya mahu menunjukkan budaya hidup tidak bertamadun itu.

“Kami mengesa kumpulan ini berhenti meneruskan agenda mempengaruhi rakyat untuk menerima propaganda LGBT dan kembali kepada hidup lebih waras dan siuman serta membangunkan tamadun manusia yang mulia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini