MADRID 10 Mac – Lionel Messi dan Luis Suarez pasti tidak akan direhatkan dalam saingan peringkat 16 akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Lyon, Khamis ini (waktu Malaysia) selepas membantu Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas Rayo Vallecano pada saingan La Liga, hari ini.
Terdahulu, penyerang Rayo, Raul de Tomas mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-24, sebelum Gerard Pique menyamakan kedudukan 14 minit kemudian.
Messi kemudian meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-51 apabila menyempurnakan sepakan penalti sebelum Suarez melengkapkan kemenangan 3-1, lapan minit sebelum wisel penamat dibunyikan.
“Kami mempunyai perlawanan getir pada Rabu ini. Kami sedar betapa pentingnya perlawanan tersebut dan ia tidak boleh dijadikan alasan jika tewas.
“Kami tidak boleh ambil mudah, lihat sahaja apa yang terjadi kepada pasukan gergasi lain dalam saingan Liga Juara-Juara,” kata pengendali Barcelona, Ernesto Valverde.
Kemenangan tersebut mengekalkan kedudukan Barcelona di tangga teratas La liga dengan kelebihan 7 mata di depan tempat kedua Atletico Madrid, yang mengumpul 56 mata, diikuti Real Madrid (48 mata).- AFP











