JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menerima rasuah RM30,000, dua tahun lepas.
Ismail Busrah, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Kamarudin turut mengarahkan tertuduh dihukum penjara 14 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Ismail didakwa menerima wang tunai RM30,000 dengan tiada balasan daripada Pengurus Projek Syarikat ICE Petroleum Engineering Sdn Bhd, Norazman Abdul Latif yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasmi sebagai pegawai penyelia projek “Engineering Procurement Construction Commissioning of Field Erected Tanks” di Pengerang.
Ismail didakwa melakukan perbuatan tersebut di lampu isyarat jalan menghala ke jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru kira-kira 2.15 petang, 31 Oktober 2017.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama











