MARAN 10 Mac – Seorang lelaki yang sedang memotong pelepah kelapa sawit maut selepas terkena sabit yang terjatuh di ladang Jengka 4 di sini semalam.
Mangsa, Abdul Razak Said, 47, mengalami pendarahan yang teruk selepas kaki kanannya terkena sabit kelapa sawit berkenaan.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden, Norzamri Abd. Rahman berkata, kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama anak lelakinya sedang memotong pelepah kelapa sawit di ladang berkenaan.
“Semasa melakukan kerja, pisau sabit terjatuh dan terkena kaki sebelah kanan mangsa mengakibatkan pendarahan yang teruk.
“Selepas kejadian, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri dan anak mangsa keluar dari ladang menunggang motosikal untuk meminta bantuan orang kampung,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya mangsa yang dibawa ke Klinik Kesihatan Maran disahkan meninggal dunia semasa dirawat di klinik berkenaan. – UTUSAN ONLINE











