Dua warga Singapura pengunjung pusat hiburan ditahan memiliki dadah - Utusan Malaysia

Dua warga Singapura pengunjung pusat hiburan ditahan memiliki dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan di Kompleks Sun, Bukit Bintang yang pernah menjadi kontroversi pada Oktober 2014 selepas seorang ‘joki kereta’ maut manakala 12 individu cedera akibat serangan bom tangan diserbu polis awal pagi tadi.

Serbuan bermula pukul 2.45 pagi yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) itu membongkarkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung pusat hiburan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki warga Singapura antara diberkas mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil siasatan lanjut juga mendapati pemilik pusat hiburan berkenaan menggajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing untuk melariskan perniagaan.

“Seramai 81 individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an diperiksa dalam serbuan itu dan 37 daripadanya yang terdiri daripada 28 lelaki serta sembilan wanita didapati positif dadah.

“Selain itu, kita juga menahan 15 GRO yang terdiri daripada 10 warga China manakala lima lagi warga Vietnam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya lagi, pihak polis juga menggunakan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) bagi menghidu bau dadah selepas beberapa botol minuman berisi dadah dirampas di pusat hiburan tersebut.

“Air minuman berisi dadah itu ditemui di dalam sebuah bilik yang didiami empat lelaki termasuk dua warga Singapura bersama empat GRO warga China,” ujarnya.

Kesemua tangkapan dibawa ke IPKKL untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini