LONDON – Pengurus Arsenal, Unai Emery menggesa anak-anak buahnya tampil dengan aksi yang terbaik ketika menentang Manchester United pada saingan Liga Perdana England (EPL) di Stadium Emirates awal pagi esok.
Moral The Gunners tidak berada pada tahap terbaik ketika ini selepas tewas mengejut 1-3 kepada Rennes pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Europa Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Emery berharap barisan pemainnya berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan United lebih-lebih lagi skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu baru sahaja melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara setelah menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG).
“Saya tahu mereka berada dalam situasi yang terbaik ketika ini tetapi kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza dalam carta liga. Kami tewas 1-3 kepada mereka pada saingan Piala FA sebelum ini tetapi kami tetap menampilkan aksi yang terbaik.
“Kami semua tahu ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar kerana mereka memiliki ramai pemain berkualiti. Bagaimanapun, saya harap aksi di laman sendiri akan membantu kami menewaskan mereka,” kata Emery.
Kata pengendali dari Sepanyol itu, meskipun United berada pada prestasi terbaik ketika ini namun beliau sudah tidak sabar menguji kemampuan skuad The Red Devils.
“Mereka memiliki suntikan motivasi yang cukup tinggi selepas aksi menentang PSG. Saya tahu kami perlukan aksi yang terbaik daripada semua pemain pada perlawanan itu nanti, saya akui sudah tidak sabar bertemu mereka,” ujarnya. – Agensi











