KUALA LUMPUR 9 Mac – Satu lagi kekalahan dalam saingan Liga Super menentang Selangor esok mungkin menyebabkan Yusri Che Lah hilang pekerjaan sebagai Ketua Jurulatih Kuala Lumpur.
Skuad The City Boys kini menghuni tangga tercorot liga selepas kalah semua empat perlawanan musim ini, sekali gus menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang belum pernah mengutip sebarang mata.
Bimbang dengan situasi tersebut, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menjadikan perlawanan menentang pasukan yang juga belum pernah menang musim ini, Selangor sebagai penilaian terakhir.
Berbeza dengan Yusri, apa jua keputusan yang dicatat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras esok tidak akan menjejaskan kedudukan pengendali Red Giants, B. Sathianathan selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam menyatakan sokongan padu kepada bekas jurulatih kebangsaan.
“Buat masa ini kami masih menggunakan khidmat Yusri kerana sedar, empat perlawanan terdahulu kami berdepan pasukan yang kuat.
“Jadi, kita tengok bagaimana perlawanan menentang Selangor nanti.
“Kalau kalah tipis, masih boleh dipertimbangkan tetapi jika sebaliknya kita kena tengok semula kepada keadaan sama ada dia boleh kekal atau tidak,” kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa kepada Mingguan Malaysia.
Kuala Lumpur memulakan kempen Liga Super dengan tewas 1-3 kepada Pahang, sebelum dibenam 4-1 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), kalah 0-1 di tangan Terengganu dan terbaru, tumpas 0-2 di Melaka.
Selangor pula, seri tiga kali dan tewas dua kali, sekali gus meletakkan mereka di tangga ke-10 dengan hanya mengutip tiga mata.
Bagaimanapun, Sathianathan akan turun di Cheras dengan penuh kelegaan selepas Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuiddn Idris Shah memberi jaminan kedudukannya tidak tergugat.
Namun begitu, tekanan pastinya datang daripada penyokong Red Giants yang nyata mula hilang sabar selepas pasukan itu tumpas 2-4 kepada JDT di Shah Alam, minggu lalu.
“Sudah pasti saya sangat lega selepas mendengar pelbagai spekulasi menyatakan Mario Gomez dan beberapa lagi jurulatih bakal menggantikan saya.
“Pemain dan pasukan tahu keadaan sekarang, kita kena main seperti menentang JDT dan Pahang atau lebih baik daripada itu serta berdisiplin.
“Paling saya bimbang barisan pertahanan bolos 11 gol dalam lima perlawanan, apa pun kita perlu menang esok,” katanya.











