JAKARTA 9 Mac – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang bersaing mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya Presiden (Pilpres) bulan depan menyifatkan fitnah mengenai dirinya melarang laungan azan dan membenarkan pernikahan sesama jantina atau menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai sampah.
Detik News melaporkan, Jokowi menegaskan perkara itu ketika menghadiri majlis bacaan ikrar sokongan oleh Alumni Perguruan Tinggi dan Sekolah Menengah Atas Lampung di Bandar Lampung, semalam.
“Kita tahu mana berita palsu, fitnah dan penipuan, jadi kita perlu sentiasa berhati-hati, malah permasalahan ini bukan sahaja berlaku dalam media sosial tetapi turut melibatkan dari pintu ke pintu, kampung ke kampung.
“Fitnah yang ditaburkan terhadap diri saya jika ikut logik, memang tidak masuk akal. Indonesia adalah sebuah negara yang mempunyai norma agama yang sangat baik termasuk tata sosialnya,” katanya.
Jokowi menyatakan bahawa berita palsu yang disebarkan tentang dirinya jika dipilih semula sebagai Presiden Indonesia itu merupakan isu murahan yang tidak perlu dilayan sama sekali.
“Isu-isu itu semua seperti sampah. Jangan sampai kita mudah terpengaruh dengan berita palsu dan setujukah kita untuk melawannya?,” soal Jokowi di hadapan ribuan penyokongnya.
Pertanyaan Jokowi itu menerima sorakan daripada pengunjung yang hadir dan semuanya melaungkan: “Setuju! Lawan!”











