Kemiskinan ubah hidup Sakho - Utusan Malaysia

Kemiskinan ubah hidup Sakho

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMINTA sedekah dan tidur di tepi jalan adalah rutin harian Mamadou Sakho ketika zaman remaja demi kelangsungan hidup kerana kemiskinan yang membelenggu.

Sakho menghabiskan sebahagian besar zaman remaja dengan hidup sebagai gelandangan di kawasan kejiranan Goutte d’Or yang terletak kurang 5 kilometer dari kota cinta, Paris.

Sakho berkata adakalanya dia tidak mampu membeli makanan walau sebuku roti, selain bergelut untuk mencari tempat tidur yang lebih selesa jika cuaca sejuk menyerang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, ada satu peristiwa yang telah merubah nasib pemain berusia 29 tahun itu selama-selamanya iaitu apabila dia disangkakan perompak ketika mengemis daripada seorang wanita untuk membeli makanan.

“Sangat mengejutkan. Saya hanya mahu sedikit duit untuk membeli roti namun wanita itu fikir saya mahu merompaknya.

“Sejak hari itu, saya berkata kepada diri saya ‘hari ini aku kelaparan dan dia fikir aku mahu melakukan sesuatu yang tidak baik. Selepas ini aku akan kembali, tetapi sebagai orang yang memberi kepada orang lain’.

“Saya tahu bagaimana rasanya hidup dalam kelaparan dan kesejukan. Saya pernah meminta sedekah hanya untuk membeli makanan. Itulah kehidupan saya ketika muda. Saya tidak bercakap mengenainya sebab bangga.

“Saya hanya mahu memberi inspirasi, apabila anda berada di puncak kejayaan maka wajib untuk menghulur bantuan kepada yang memerlukan.

“Semua orang ada cerita tersendiri. Ini kisah saya. Kisah saya membantu saya menjadi diri saya sekarang,” katanya.

Sakho tidak bercakap kosong apabila dia membina rumah anak-anak yatim di Tamba, Senegal iaitu tempat kelahiran bapanya.

Bintang Sakho dalam bola sepak mula menyinar apabila dia menarik perhatian kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) untuk diserapkan dalam akademi.

“Saya tahu saya akan menjadi pemain bola sepak ketika berusia 13 tahun iaitu pada hari saya kehilangan bapa.

“Saya perlu menggalas tanggungjawab ketua keluarga dan menjadi lelaki matang.

“Ada orang pernah tanya apakah sukar menjadi kapten PSG ketika berumur 17 tahun.

“Saya beritahu dia, kapten paling sukar dalam hidup saya adalah menjadi ketua keluarga sendiri pada usia 13 tahun”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini