Anggota Rela selama 39 tahun rayu bantuan - Utusan Malaysia

Anggota Rela selama 39 tahun rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mac – Seorang warga emas yang berkhidmat bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selama 39 tahun merayu kepada Kementerian Dalam Negeri agar dapat menya­lurkan sedikit bantuan kebajikan kepadanya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

ABDUL KADIR HAMID

Abdul Kadir Hamid, 76, memberitahu, kaki kanannya terpaksa dipotong setelah disahkan doktor tidak lagi berfungsi gara-gara jatuh motosikal ketika mela­kukan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin di Chow Kit bersama Rela dan polis sekitar tahun 1995.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Kadir berkata, dia mula berkhidmat bersama Rela sejak tahun 1980 sehingga ke hari ini dan pernah menjadi jurulatih di jabatan berkenaan selama 12 tahun dari 1985 sehingga 1997.

“Saya mendapat bantuan daripada Baitulmal untuk mendapatkan kaki palsu yang berharga RM10,000 setiap tiga atau empat tahun sekali, dalam masa nak menunggu tempoh itu kaki palsu ini semakin tidak selesa untuk dipakai yang mana tapaknya semakin haus dan sistem lututnya semakin tidak baik.

“Sudah lima, enam kali saya ke Putrajaya untuk mendapatkan sedikit bantuan daripada pihak Rela, namun malangnya mereka memberi alasan tidak mempunyai peruntukan untuk membantu saya,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Kadir kini bergantung harap kepada wang pencen RM700 selaku bekas kakita­ngan Majlis Perbandaran Peta­ling Jaya (MPPJ), namun jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menyara kehidupannya yang kini turut mengalami masalah tekanan darah tinggi.

“Saya merayu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri agar mendengar rintihan saya ini, umur saya tidak lagi panjang sebelum itu benarkan saya hidup dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini