LAHAD DATU – Polis menahan seorang pengawal keselamatan ladang yang memukul isterinya menggunakan ekzos motosikal semasa pertengkaran, di sebuah rumah kongsi pekerja di Ladang Matamba, Jalan Tungku di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 petang susulan laporan polis dibuat isterinya yang berumur 36 tahun pada pukul 11.05 pagi.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan, suspek memukul isterinya dua kali pada Rabu di kediaman mereka antara pukul 3.30 petang dan 3.45 petang selepas berang isterinya mempertahankan tingkah laku anak-anaknya yang bergaduh ketika bermain.
“Isteri bersama anak-anaknya kemudian melarikan diri ke rumah ketua kampung berdekatan untuk mengadu masalah rumah tangganya sebelum suspek datang sebelum memukul isterinya dengan menumbuk muka serta badan bertubi-tubi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nasri berkata, kejadian kemudian dileraikan ketua kampung dan suspek melarikan diri. – Bernama











