KUALA LUMPUR 8 Mac – MCA dan MIC kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan tiada sebarang konsensus dicapai mengenai pembubaran gabungan parti itu dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung hari ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, MCA ada membawakan resolusi mengenai pembubaran BN dalam mesyuarat tersebut namun tiada konsensus dicapai mengenainya.
Walaupun begitu, jelas Mohamad, parti itu mengambil berat tentang satu lagi resolusi yang dibawa oleh MCA iaitu untuk sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menstruktur semula gerak kerja BN bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15.
“MCA telah bentangkan resolusi mereka seperti yang disepakati dalam Mesyuarat Agung MCA ke-65 pada Disember lalu untuk membubarkan BN, tapi dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini UMNO dan MIC tak setuju kerana berasakan tiada keperluan untuk barisan yang tertubuh 44 tahun ini dibubarkan.
“Untuk melakukan sesuatu perubahan dalam BN mesti ada konsensus. MCA kena bentang semula resolusi ini kepada ahli mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini.
Mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran.
Sementara itu, Mohamad memberitahu telah menjangkakan konsensus berkenaan pembubaran BN tidak akan tercapai hasil mesyuarat pada hari ini.
“Saya memang tahu ia (pembubaran) tidak akan tercapai kerana saya sendiri tidak bersetuju malah UMNO memang tidak mahu melihat BN dibubarkan.
“MCA punya resolusi adalah untuk membubar dan menyelaras semula BN, kita tiada konsensus mengenai pembubaran tetapi kita bersetuju untuk menyelaras semula BN mengikut kehendak semasa,” katanya.
Mohamad dalam pada itu menambah, menerusi mesyuarat itu juga, MIC menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemusatan kuasa eksekutif sewaktu BN menjadi kerajaan sebelum ini.
“Perkara ini kita ambil perhatian dan hasil mesyuarat ini, kita bersetuju untuk menubuhkan satu struktur jawatankuasa kerja untuk melihat pentadbiran BN di peringkat negeri seterusnya ke Parlimen,” katanya.











