Guan Eng, jangan tiup api dalam sekam! - Perkasa - Utusan Malaysia

Guan Eng, jangan tiup api dalam sekam! – Perkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mac – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diingatkan supaya jangan sesekali meniup api dalam sekam semata-mata mahu mencari kepentingan politik sekali gus boleh menimbulkan kebencian dan perpecahan kaum dalam negara.

HASSAN BASRI
HASSAN BASRI

Malah, provokasi jahat yang dicetuskan Guan Eng yang juga Menteri Kewangan sebagai satu daripada strategi untuk menghalang dan menakutkan kaum lain selepas termerainya jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas disifatkan amat melampau.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Hassan Basri Muhammad turut mempersoalkan sama ada tindakan Guan Eng yang mengisytiharkan kesepakatan UMNO dan Pas itu sebagai semboyan perang kepada kaum lain adalah kerana merasakan Pakatan Harapan (PH) berkuasa sehingga tiada siapa berani mengambil tindakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih malang lagi, kata Hassan Basri, Perkasa kesal apabila tiada seorang pun pemimpin Melayu PH yang menyanggah kenyataan Guan Eng yang disifatkan boleh menggugat keselamatan negara.

“Perkasa mengingatkan kepada Guan Eng yang cuba membuat provokasi jahat, janganlah melakukan provokasi secara melampau. Walaupun akhirnya kenyataan itu diperbetulkan semula tetapi bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

“Kami sangat berharap kepada ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaras dengan prinsip ‘rule of law’ untuk mengambil tindakan dengan menahan Guan Eng untuk disiasat atas dakwaan provokasi melampau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Portal berita MalaysiaKini semalam memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dengan frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini