GUA MUSANG 7 Mac – Polis menahan sepasang suami isteri yang membawa 5,000 botol cecair hitam dipercayai ubat batuk mengandungi dadah bernilai RM50,000 dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Weststar G10 di Kampung Simpang Empat Kundur, di sini, Isnin lalu.
Suami isteri masing-masing berusia 22 dan 23 tahun itu ditahan pukul 5.45 pagi selepas anggota unit peronda polis (MPV) yang membuat rondaan menahan kereta bercermin gelap dipandu si suami ketika di persimpangan lampu isyarat di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, selepas membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek, polis menjumpai 50 kotak berisi 100 botol cecair hitam dalam setiap kotak berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang berasal dari Simpang Ampat, Perlis ini telah meninggalkan seorang anak lelaki berusia lapan bulan di kampung mereka semata-mata mahu menghantar 500 liter cecair dadah itu ke Pasir Puteh.
“Mereka dibayar sejumlah wang untuk membawa cecair dadah dari utara melalui Simpang Pulai, Cameron Highlands, Pahang dan menuju ke jalan Gua Musang-Jeli,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini hari ini.
Katanya, pasangan itu direman tujuh hari sehingga 10 Mac ini dan kes disiasat di bawah Sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE











