KUALA LUMPUR 7 Mac – UMNO mempersoalkan DAP apakah orang Melayu tidak boleh bersatu di dalam negara ini?.
Sejarah menunjukkan bahawa apabila orang Melayu bersatu negara berada dalam keadaan aman, damai serta membangun dan nikmatnya akan dinikmati oleh semua kaum.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan DAP terutama Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng supaya tidak singkat fikiran dan cemburu dengan kerjasama UMNO dan Pas.
“Tidak timbul soal orang rasa cemburu hati sampai ke tahap deklarasi peperangan terhadap bukan Melayu, mengapa perlu bercakap macam itu,
“Mengapa perlu singkat sangat pemikiran, begitu cemburu hati sangat apakah orang Melayu tidak boleh bersatu,” soalnya ketika ditemubual secara eksklusif Utusan Malaysia di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn hari ini.
Sebuah portal semalam memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.
Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’. – UTUSAN ONLINE










