JAM di tangan tepat menunjukkan pukul 4 petang. Kelihatan satu per satu peserta pertandingan Seni Suara Kokokan Ayam Hutan Hibrid mula memenuhi gelanggang pertandingan yang terletak di Kampung Atas Parit berhampiran Pintu 2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.
Suasana yang sebelum ini sunyi bertukar menjadi hingar-bingar sebaik sahaja para peserta mula membanjiri kawasan tersebut disusuli bunyi kokokan ayam hutan hibrid yang bakal bertanding.
Kokokan awal tersebut seolah-olah memberi gambaran ‘pemanas badan’ unggas itu sebelum menyertai pertandingan.
Sebaik sahaja pengadil bertugas meniupkan wisel, kelihatan para pemilik ayam sibuk mengagah ayam-ayam mereka untuk terus berkokok.
Sepanjang 15 minit, pelbagai ragam dan gelagat yang ditonjolkan oleh para pemilik yang ‘berkomunikasi’ dengan ayam-ayam hutan hibrid masing-masing supaya mendengar kata untuk terus melontarkan suara.
Tanpa henti mereka berdiri dan berteriak ke arah ayam-ayam peliharaan mereka itu agar terus berkokok dalam pertandingan yang hanya menawarkan hadiah tilam ‘toto’, gelas dan mangkuk.
Tugasan interaksi itu bukanlah suatu yang mudah kecuali sudah wujud hubungan yang ‘mesra’ antara pemilik dan ayam-ayam.
Pertandingan melibatkan ayam jantan itu telah dijuarai oleh ayam hutan hibrid bernama Hijau yang menewaskan 59 ekor ayam lain.
Hijau berjaya mempamerkan kokokan sebanyak 41 kali sepanjang tempoh 15 minit pertandingan.
Ayam hutan hibrid ialah ayam kacukan antara ayam hutan dan ayam kampung.
Ayam hutan asli secara umumnya kurang berkokok, liar serta ‘tidak mendengar kata’ dan sifat-sifat itu berubah setelah mengalami kacukan atau asimilasi dengan ayam kampung.
Jumlah kokokan
Penganjur Pertandingan Seni Suara Kokokan Ayam Hutan Hibrid Terbuka Rantau Panjang, Mahadi Ismail, 43, berkata, pertandingan ini dinilai berpandukan kepada jumlah kokokan yang dilontarkan oleh seekor ayam.
Menurutnya, lebih banyak kokokan yang dilontarkan oleh seekor ayam, maka unggas itu akan dijulang sebagai pemenang tempat pertama.
“Itulah uniknya pertandingan ayam hutan hibrid ini berbanding seni suara burung ketitir, tekukur, candik dan merbah jambul.
“Hal ini kerana kumpulan unggas yang lain itu dinilai berpandukan kepada kemerduan ‘air’ suara yang dilontarkan,” katanya.
Mahadi memberitahu, seni suara itu menjadi hiburan baharu buat rakyat di negeri ini selepas kewujudan pertandingan melibatkan burung-burung berkenaan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat negeri ini satu masa dahulu.
Pertandingan seni suara ayam hutan hibrid yang berlangsung di Rantau Panjang itu adalah penganjuran pertandingan kali pertama di negeri ini.
Katanya, pertandingan kokokan ayam hutan hibrid itu berasal dari Thailand dan kemudiannya merebak ke Rantau Panjang.
“Ia disebabkan oleh ‘hubungan erat’ antara penduduk kawasan berkenaan dengan negara jiran.
“Jadi tidak hairanlah kenapa pertandingan pantas merebak sehingga ke Rantau Panjang,” katanya.
Mahadi berkata, unggas itu sudah mengalami proses asimilasi dengan jenis ayam kampung tempatan.
“Induk asal ayam hutan bersifat culas dan sukar untuk dibela selain agresif.
“Namun, selepas mengalami proses kacukan ia menjadi jinak sekali gus berubah daripada sifat asalnya,” katanya sambil memberitahu kebanyakan ayam-ayam hutan induk asal diperolehi dari hutan di negeri-negeri luar Kelantan seperti Johor dan Melaka.
Menurutnya, selain itu baka kacukan ini turut mengeluarkan suara yang nyaring selain acap kali berkokok sekali gus memudahkan ia dipertandingkan.
Mengenai pertandingan, Mahadi mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat ayam berkenaan.
Katanya, walaupun kali pertama dianjurkan, ia berjaya menarik 60 peserta untuk menyertai pertandingan tersebut dengan yuran penyertaan RM10 setiap seekor ayam.
Menurutnya, sambutan luar biasa itu menyemarakkan lagi semangat untuk meneruskan penganjuran pada masa akan datang.
Hijau
Penampilan sulung Hijau, ayam hutan hibrid milik Abdullah Ali Yusoff, 62, dalam arena pertandingan seni suara ayam membawa tuah apabila ia meraih tempat pertama pada pertandingan Seni Suara Kokokan Ayam Hutan Hibrid Terbuka Rantau Panjang.
Abdullah Ali berkata, dia sama sekali tidak menyangka Hijau mampu beraksi dengan tenang untuk merangkul kejuaraan.
“Saya terkejut Hijau boleh menang kerana ini kali pertama ia masuk bertanding.
“Namun, rezeki berpihak kepada kami dan saya gembira dengan kejayaan ini,” katanya.
Abdullah Ali memberitahu, dia menyertai pertandingan itu secara suka-suka.
Katanya, ayam tersebut dibeli daripada seseorang dengan harga RM250.
“Saya ada seekor lagi ayam, namun hari ini ia gagal menyerlah,” ujarnya.
Abdullah Ali berkata, selepas memenanginya, ada pihak yang ingin membeli Hijau pada harga yang begitu tinggi. Seorang peminat ayam hibrid dari Thailand berminat untuk membeli Hijau dengan harga RM2,000.
Biarpun harga yang ditawarkan itu agak lumayan, namun Abdullah Ali belum bersedia untuk melepaskan Hijau.
“Hijau baru kali pertama menyertai pertandingan, sayang untuk saya menjualnya.
“Lagipun kami sudah selesa bersama,” katanya.
Seorang lagi pemilik ayam hutan hibrid, Mohd. Hafizulman Halim, 35, berkata, kerja-kerja menjaga ayam hutan hibrid ini tidak begitu cerewet atau membebankan.
Katanya, bagi memastikan ayam peliharaannya berada dalam keadaan sihat, dia akan memberikan makanan berkualiti.
“Apabila ayam yang kita bela sihat, maka aksi yang bakal diperagakan ketika pertandingan pastinya lebih baik.
“Biasanya saya akan memberikan jagung yang baik untuk pastikan ayam dalam keadaan sihat,” katanya.
Menurutnya, dia juga akan memandikan ayam peliharaannya sebanyak dua kali sehari. Tindakan itu bagi memastikan haiwan itu sihat dan sentiasa segar.
Menurutnya, ayam hutan hibrid juga sudah semakin kehilangan sifat asal ayam hutannya yang asli seperti gemar terbang sehingga ia boleh dibawa di dalam beg yang diperbuat daripada kain denim hasil kreativiti pemiliknya.











