KUALA LUMPUR – Penarikan diri skuad futsal Perlis daripada saingan Liga Futsal Profesional Malaysia (MPFL) tidak memberi sebarang masalah apabila terdapat tiga pasukan bersedia mengisi kekosongan slot berkenaan.
Difahamkan, tiga pasukan tersebut ialah Pulau Pinang, Kelantan dan Negeri Sembilan, bagaimanapun ketiga-tiga pasukan itu perlu beraksi pada pusingan kelayakan untuk dipilih sebagai pasukan terbaik menyertai MPFL.
Terdahulu, skuad futsal Perlis terpaksa melupakan hasrat bersaing pada edisi sulung MPFL yang akan dilangsungkan bulan depan selepas masalah dihadapi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang dijangka tidak mampu menampung kos perbelanjaan pasukan untuk bersaing pada liga selama enam bulan.
Lebih malang, seramai 25 pemain dan tujuh barisan kejurulatihan skuad futsal Perlis turut berdepan masalah tunggakan gaji dengan jumlah keseluruhan hampir RM200,000 sejak Januari lalu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah luar jangkaan tersebut memandangkan tarikh pendaftaran awal bagi saingan MPFL ditutup Jumaat lepas.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, perancangan FAM terhadap persiapan MPFL berjalan baik selepas badan induk bola sepak berkenaan sudah mengambil langkah awal ekoran masalah dihadapi PFA sebelum ini.
“Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan telah menghubungi FAM dan menjelaskan mereka tidak mampu menampung kos perbelanjaan pasukan sebelum tarikh tutup pendaftaran Jumaat lalu meskipun panggilan berkenaan berlangsung secara tidak rasmi.
“Apa pun, pihak kami tetap menerima keputusan PFA memandangkan FAM sudah mengambil langkah proaktif sejak hari pelancaran MPFL bulan lalu.
“Apabila kurang satu pasukan, tarikh pendaftaran dilanjutkan satu minggu lagi untuk memberikan peluang kepada pasukan lain yang berminat dan jika ada lebih daripada satu pasukan kita bakal adakan aksi kelayakan bagi memilih yang terbaik.
“Buat masa ini, FAM belum mendapat surat permohonan rasmi daripada mana-mana pasukan dan kami akan tunggu sehingga hari terakhir untuk mengumumkan pasukan yang bakal menggantikan Perlis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. – K! ONLINE











