KUALA LUMPUR 6 Mac – Segmen bual santai Jom Chat setiap hari Rabu di Utusan Online malam ini menampilkan Ameng Spring dan seorang pendatang baharu, Iqbal Iqnada.
Ameng akan meuar-uarkan tentang kolaborasi beliau dengan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dan Zamani Slam, Konsert 3 Suara yang akan diadakan di Ipoh, Perak.
Untuk rekod, Konsert 3 Suara yang membariskan Ameng, Jamal dan Zamani pernah diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada tahun 2016.
Konsert 3 Suara di Ipoh pada bulan April nanti adalah rentetan daripada sambutan hangat yang diterima oleh peminat ketiga-tiga penyanyi lelaki tersebut.
Sementara itu, Ahmad Iqbal Baqi Omar Baqi atau nama pentasnya, Iqbal Iqnada yang lahir dari program Ceria Popstar musim kedua dan meraih tempat kedua dalam program pertandingan realiti televisyen itu cuba memahatkan namanya sebagai artis popular tanah air.
Anak jati Kedah ini bukan sahaja mengembangkan sayapnya sebagai penyanyi tetapi juga mencuba nasib sebagai pelakon.
Iqbal dikatakan mampu menyanyi dalam lapan bahasa termasuk bahasa Thai dan Jepun.
Jom Chat disiarkan secara live di Facebook Utusan dan berdurasi selama satu jam sahaja, 9 malam sehingga 10 malam. – UTUSAN ONLINE











