Pelajar Tingkatan 3 diserang kumpulan bertopeng - Utusan Malaysia

Pelajar Tingkatan 3 diserang kumpulan bertopeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 6 Mac – Seorang pelajar Tingkatan 3 cedera di bahagian siku akibat diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan batang besi dan besi berantai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa baru keluar dari sekolah sesi pagi dan sedang menunggu bapa rakannya untuk pulang, namun secara tiba-tiba datang sekumpulan lelaki bertopeng lalu menyerang dengan menghayun senjata ke arahnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, akibat serangan itu, siku kiri mangsa tercedera dan dia kemudiannya melarikan diri ke dalam kawasan sekolah bagi mendapatkan perlindungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan siasatan, kumpulan ini seramai empat orang dan datang menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift berwarna biru. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Baharudin, pihaknya telah membuat operasi mengesan kesemua suspek yang beralamat di Klang.

“Hasilnya, salah seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 19 tahun telah menyerah diri IPD Shah Alam dan kita menahannya bagi membantu siasatan.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini. Polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek dan mengaarahkan kesemua mereka segera menyerah diri.

“Siasatan kes ini masih diteruskan untuk mengenalpasti motif kejadian daripada semua sudut termasuk penglibatan kumpulan kongsi gelap. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Zamhidatul di talian 010-4512505 atau 03-55202222.

Difahamkan, punca kejadian adalah dipercayai disebabkan berlakunya perselisihan faham dengan pelajar di sekolah yang sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini