Pelajar mangsa Pertandingan Tidur Dalam Kubur - Utusan Malaysia

Pelajar mangsa Pertandingan Tidur Dalam Kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mac – “Saya tidak tahu langsung tentang benda ini. Ada orang yang viral dan letak nombor telefon,” jelas seorang wanita yang menjadi mangsa selepas nombor telefon miliknya disalahguna sebagai pengendali Pertandingan Tidur Dalam Kubur.

Melalui status yang dikongsikan di laman Facebook milik Julie Christine Martin, dia mendakwa menjadi mangsa individu perbuatan tidak bertanggungjawab dan merayu orang ramai menyebar mesej berkenaan dan tidak menghubunginya mengenai hal itu.

“Saya masih seorang pelajar dan awal pagi ada yang menelefon dan mesej mengenai benda yang mengarut ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika kamu semua mahu ma**, silakan. Jangan melibatkan saya dalam pertandingan ini. Saya sedang mencari siapa yang tularkan nombor saya dan mahu membuat laporan polis, terima kasih,” tulis Julie yang kini mengikuti pengajian di peringkat diploma jurusan kejururawatan di sebuah universiti tempatan di Sabah.

Dalam mesej WhatsApp yang tular hari ini, orang ramai berkongsi pertandingan menawarkan hadiah lumayan berupa pakej umrah dan wang tunai RM5,000 kepada sesiapa yang boleh tidur selama lapan jam di dalam kubur.

“Pertandingan Tidur Dalam Kubur, tidur dalam kubur yang terbuka hanya bertutup liang lahad selama lapan jam pada malam hari sehingga subuh.

“Bertempat di kawasan perkuburan Hulu Langat, bertarikh 23 Mac 2019, 5 petang. Hadiah pertama, pakej umrah dan wang tunai RM5,000. Hadiah kedua, wang tunai RM3,000 dan cenderamata manakala hadiah ketiga, wang tunai RM1000.

“Pendaftaran boleh menghubungi Encik Selamat di talian 017-822 9029 (nombor telefon milik Julie),” tulis individu yang menjadi dalang penyebaran berita pertandingan palsu itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini