MELAKA – Mayat seorang lelaki dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam ditemui di sebuah ladang sawit di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang di sini semalam.
Mayat Mohd. Fadzli Shariff, 38, ditemui oleh orang awam dalam keadaan terbaring dan berpakaian lengkap baju T lengan panjang serta seluar panjang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 5.20 petang.
“Pemeriksaan di lokasi menjumpai sepasang kasut getah, topi keledar dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 pada jarak antara dua hingga lima meter dari mayat tersebut.
“Dalam poket seluar dipakai si mati terdapat telefon bimbit dan dompet mengandungi kad pengenalan, kad bank serta wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, pemeriksaan pada badan si mati menemui satu luka baharu di bawah paha dan betis kaki kiri.
“Namun, pemeriksaan di lokasi tidak menjumpai sebarang objek atau senjata,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











