KUALA LUMPUR 5 MAC – PENYATUAN Melayu bukan hanya berkisar kepada kerjasama UMNO dan Pas semata-mata kerana PKR dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga memperjuangkan isu sama.
Sehubungan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masyarakat melihat isu penyatuan Melayu secara menyeluruh melibatkan agama Islam, pembangunan bahasa dan kepentingan semua kaum.
“Melayu ini bukan semua dengan Pas dan UMNO sahaja dalam Keadilan (PKR) pun ada, tak ahli pun ramai, dalam persatuan-persatuan pun ramai.
“Bagi saya isunya adalah isu pentadbiran yang baik dan usaha yang telus membantu semua rakyat. Majoriti rakyat miskin dan terabai itu orang Melayu jadi tidak perlu kita tekankan hanya satu (UMNO dan Pas) sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di bangunan Parlimen hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat kaukus hari ini mendengar pelan tindakan antirasuah yang dibentangkan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan membincangkan tentang Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan salah laku hakim.
Pada masa sama, jelas beliau, kaukus turut berbincang secara panjang lebar tentang masalah kemiskinan dan mengapa wujud persepsi seolah-olah kerajaan tidak membantu rakyat.
Mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan yang menggesa Ahli Parlimen Port Dickson itu segera menjadi Perdana Menteri, Anwar mahu semua pihak menghormati semangat yang termeterai dalam PH.
“Saya nasihat ahli-ahli parti termasuk ADUN supaya menghormati semangat PH, pendirian Keadilan (PRK) untuk menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti mana kita sepakati,” katanya.











