IPOH 5 MAC – KEGEMBIRAAN lapan sekawan mandi dan memancing di Sungai Pinji berhampiran Kampung Tersusun Batu 4 Tambun di sini berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas dihanyutkan arus, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, Alif Azam Azmin Azam dan Mohamad Farid Nazmi Abd. Khader, masing-masing berusia 13 tahun dihanyutkan arus sungai manakala dua rakan lain yang mandi bersama mereka sempat menyelamatkan diri.
Seorang rakan mangsa, Wan Ahmad Nazrin Sobri, 13, berkata, mereka yang merupakan rakan sekelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambun pergi ke sungai berkenaan untuk mandi dan memancing sebelum ke sekolah untuk sesi persekolahan pada sebelah petang.
Katanya, ketika kejadian, empat rakannya termasuk Alif Azam dan Mohamad Farid mandi di sungai tersebut manakala dia dan tiga rakan lain berada di tebing sungai.
‘‘Saya terkejut apabila mendengar jeritan rakan-rakan dan melihat mereka berempat terkapai-kapai di tengah sungai. Pada masa itu, saya tidak fikirkan keselamatan diri tetapi terus terjun untuk menyelamatkan mereka.
‘‘Saya sempat tarik dua rakan dan membawa mereka ke tempat yang cetek sebelum berpatah semula untuk menyelamatkan Alif Azam namun pegangan tangan kami terlepas. Ketika itu juga, saya tidak dapat capai Mohamad Farid kerana kedudukannya yang jauh ke tengah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Wan Ahmad Nazrin, dia yang cemas melihat dua rakannya itu dibawa arus berlari mendapatkan bantuan penduduk kampung sambil menjerit meminta tolong.
‘‘Saya ketuk pintu rumah penduduk dan menjerit beritahu yang kawan kami lemas. Mujur seorang pakcik terdengar jeritan dan membantu kami dengan menghubungi bomba,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Mahir Mat Saad berkata, seramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dihantar ke tempat kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 8.57 pagi.
Katanya, mayat Alif Azam ditemui pada pukul 10.11 pagi manakala Mohamad Farid pula dijumpai pada kedalaman 3.6 meter di dasar sungai 16 minit kemudian.
‘‘Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa keluar ke tebing dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,’’ katanya.











