Ulama juga berperanan perkasa ekonomi - Ma'ruf - Utusan Malaysia

Ulama juga berperanan perkasa ekonomi – Ma’ruf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 5 Mac – Calon Naib Presiden nombor satu, Ma’ruf Amin bertekad untuk memperbetulkan ketidaksamaan ekonomi masyarakat Indonesia bersama-sama calon Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Joko Widodo atau Jokowi.

Ma’ruf yang dipetik Republika.co.id sebagai berkata, beliau mahu memperkasakan ekonomi masyarakat Indonesia melalui koperasi-koperasi yang diwujudkan.

Katanya, beliau merayu semua pihak termasuk ulama komited memajukan ekonomi masyarakat kerana menurut Ma’ruf, tugas ulama bukan sekadar berdakwah, malah membangunkan rakyatnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tugas seorang ulama bukan hanya berdakwah, tetapi juga menjayakan dan memberi sumbangan dalam memperkasakan ekonomi umatnya,” katanya semalam.

Ma’ruf dalam pada itu ber­kata, bagi menguatkan ekonomi umat Islam, beliau mencadangkan konsep koperasi diperkenalkan di setiap masjid yang menurutnya dapat membantu umat Islam berdikari.

“Jika umat Islam mampu berdikari dan sedar akan kepentingan menjaga Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) serta menyumbang kepada bangsa, ini yang saya katakan sebagai arus baru ekonomi Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ma’ruf sebagaimana lapor Tribunnews berkata, beliau sudah bersedia mengharungi debat pusingan ketiga yang berlangsung 17 Mac ini.

“Jika ditanya soal persiapan, InsyaAllah sudah siap, saya sudah siap,” kata Ma’ruf.

Tambahnya, debat ketiga akan mengetengahkan tajuk pendidikan, kesihatan, sosial, tenaga kerja dan budaya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini