JAKARTA 5 MAC – KETUA Pengarah Pendaftaran Populasi dan Sivil, Kementerian Dalam Negeri, Zudan Arif Fakrulloh mendedahkan penemuan sebanyak 103 keping kad pengenalan elektronik warga asing yang tersenarai sebagai Daftar Pemilih Tetap (DPT) pilihan raya umum (Pemilu) 2019.

Lapor Republika.co.id, kesemua kad pengenalan itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) dan Badan Pengawas Pemilihan Umum Republik Indonesia (Bawaslu) dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
“Pihak kami telah serahkan kesemua dokumen tersebut kepada KPU dan Bawaslu,” kata Zudan.
Zudan berkata, pihaknya melakukan pencarian untuk membantu KPU menyediakan informasi berkenaan DPT dengan lebih tepat.
“Hasil penemuan kami mendapati, 103 kad pengenalan didapati bermasalah. Data yang lain tidak diperlukan KPU.
“Oleh itu, kami serahkan data warga negara asing yang tersenarai sebagai daftar pemilih tetap tersebut untuk dimusnahkan,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Bawaslu, Rahmat Bagja berkata, pihaknya meminta agar penambahbaikan dilakukan terhadap data DPT Pemilu 2019.
“Kami meminta supaya ada penambahbaikan dilakukan. Penemuan itu menunjukkan usaha dilakukan untuk memperbaiki prestasi KPU dalam kerja-kerja padanan dan penyelidikan,” jelasnya. – AGENSI











