PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang kerana kawasan itu sudah diperuntukkan kepada PKR.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada sebarang perubahan akan dibuat kerana mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) adalah kekal seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kawasan itu (kerusi DUN Rantau) diperuntukkan kepada PKR jadi kita tak nak buat apa-apa perubahan kerana setakat hari ini, mana-mana parti diperuntukkan kerusi adalah kekal macam yang lepas.
“Hal ini kerana semuanya sudah dimuafakatkan sebelum PRU-14. Jika kerusi itu PKR, jadi parti itulah yang putuskan siapa calon paling sesuai di situ,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelantikan Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian, Perlis di sini Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai berhubung permohonan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik untuk menyertai Bersatu, Muhyiddin berkata, keputusan penerimaannya belum dibuat oleh pucuk pimpinan.
“Saya diberitahu beliau sudah mengemukakan beberapa bulan lepas tetapi keputusan penerimaan belum dibuat oleh pucuk pimpinan.
“Orang nak mohon, boleh mohonlah tetapi keputusan itu tertakluk persetujuan kita untuk memutuskan,” katanya. – K! ONLINE










