BATU GAJAH 5 Mac – Seorang wanita maut apabila digilis sebuah treler ketika menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bemban berhampiran Kilang Camfil di sini hari ini.
Nahas pada pukul 11 pagi itu mengorbankan Khairun Nisa Kamaruzzaman, 28, yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa treler dipandu lelaki berusia 50 tahun dalam perjalanan dari Pengkalan 2 ke sebuah kilang di Bemban.
Katanya, kenderaan berat yang sebelum itu berhenti di persimpangan lampu isyarat mahu memasuki simpang dan telah membelok ke kanan sebelum motosikal yang ditunggang mangsa masuk ke laluannya.
“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai dari arah kawasan perindustrian Bemban telah membelok ke kanan menghala ke Batu Gajah dan masuk ke laluan treler sebelum digilis kenderaan berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, menyedari terlanggar sesuatu, pemandu treler tersebut telah memberhentikan kenderaannya sebelum mendapati terdapat seorang penunggang dan motosikal di bawah kenderaanya.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











