BATU GAJAH – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya digilis sebuah treler tanpa muatan dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Bemban berhampiran Kilang Camfil di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 pagi itu, mangsa, Khairun Nisa Kamaruzzaman, 28, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler dipandu lelaki berusia 50 tahun itu dalam perjalanan dari Pengkalan 2 ke sebuah kilang di Bemban.
“Kenderaan berat tersebut telah berhenti di persimpangan lampu isyarat mahu memasuki simpang sebelum membelok ke kanan sebelum motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggang mangsa memasuki laluannya.
“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai dari arah kawasan perindustian Bemban itu telah membelok ke kanan untuk menghala ke Batu Gajah sebelum dilanggar treler tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Ahmad Adnan, pemandu treler memberhentikan kenderaannya selepas menyedari terlanggar sesuatu sebelum mendapati seorang penunggang bersama motosikal di bawah kenderaannya.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah akibat kemalangan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











