KUALA LUMPUR 5 Mac – Penyatuan orang Melayu bukan hanya berkisar kepada kerjasama UMNO dan Pas semata-mata kerana PKR serta kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga memperjuangkan isu sama.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masyarakat melihat isu penyatuan Melayu ini secara menyeluruh iaitu melibatkan agama Islam, pembangunan bahasa dan kepentingan semua kaum.
“Melayu ini bukan semua dengan Pas dan UMNO sahaja dalam Keadilan (PKR) pun ada, persatuan pun ada, tak ahli pun ramai, dalam persatuan-persatuan pun ramai.
“Bagi saya isunya adalah isu pentadbiran yang baik dan usaha yang telus membantu semua rakyat. Majoriti rakyat miskin dan terabai itu orang Melayu jadi tidak perlu kita tekankan hanya satu (UMNO dan Pas) sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beberapa pemimpin tertinggi Pas berada di Ibu pejabat UMNO hari ini untuk membincangkan mengenai penubuhan jawatankuasa perunding peringkat tertinggi bagi membentuk penyatuan ummah melibatkan kedua-dua parti itu.
Pemimpin Pas itu diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan disertai oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan serta Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sementera itu, pemimpin UMNO yang terlibat ialah Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan beberapa lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti. – UTUSAN ONLINE











