DEKORASI bilik asrama yang kecil kadangkala agak mustahil untuk dilakukan oleh sesetengah pelajar kerana kekurangan ruang selain melibatkan proses agak rumit.

Mana tidaknya, kapasiti sebagai seorang pelajar universiti kadangkala memberikan kekangan untuk mereka menghias bilik asrama yang didiami untuk satu semester sahaja.
Namun, perkara itu tidak dijadikan penghalang oleh seorang pelajar sebuah universiti awam untuk menghias bilik asramanya sehingga seakan-akan berada di rumah.
Dekorasi bilik yang cantik dan menarik bukan sahaja memberikan inspirasi ketika melakukan tugasan kuliah dan ulang kaji pelajaran, malah turut membuatkan diri berasa tenang ketika beristirahat.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zushyan Magen, 23, mengakui mengalami sendiri pengalaman itu setelah menghias bilik asrama seakan-akan bilik di rumahnya.
“Saya menghias bilik ini secara berperingkat iaitu apabila ada masa terluang saya akan pergi ke Kaison atau Ikea untuk melihat beberapa aksesori dan perabot yang boleh digunakan untuk menghias bilik.

“Pada mulanya saya tiada idea untuk menghias bilik, namun apabila saya mendapat ilham ketika berkunjung ke Ikea dan Kaison, saya mula menghiasnya,” katanya.
Zushyan yang merupakan penuntut tahun akhir di UKM membelanjakan wang hampir RM500 untuk membeli pelbagai aksesori hiasan berkonsepkan alam semula jadi.
“Saya tidak berasakan jumlah itu membebankan kerana saya membeli barang-barang hiasan itu sedikit demi sedikit sehinggalah berjaya menyiapkan hiasan tersebut.
“Selain itu, mudah untuk saya menghias mengikut cita rasa sendiri kerana saya dapat sebuah bilik `single’ dan tidak perlu menghadapi sebarang masalah dengan rakan sebilik,” katanya.
Mengulas lanjut, Zushyan turut memberitahu bahawa aksesori seperti lampu, langsir, karpet dan kertas hiasan dinding digunakan untuk menghias sudut di biliknya.
“Saya turut meletakkan gitar serta ukulele sebagai hiasan kerana saya turut bermain gitar. Selain itu, beberapa bingkai gambar diletakkan di satu sudut bilik ini untuk menimbulkan imej santai.
“Boleh dikatakan keseluruhan hiasan bilik ini menggunakan konsep tumbuhan hijau, malah langsir yang dijahit oleh ibu saya turut mempunyai imej pokok dan bunga,” katanya.
Zushyan turut memberitahu bahawa dekorasi di bilik asramanya itu membuatkan ramai rakannya terkejut kerana dia berjaya menghias bilik itu dengan cantik sekali.
“Semasa saya menghias bilik ini, saya tidak memberitahu sesiapa pun sehinggalah menjadi tular dalam laman sosial apabila seorang kawan baik saya berkongsi gambar di Twitter.
“Bagi saya, hiasan bilik ini memberikan kepuasan tidak terhingga kepada saya,” katanya.










