KUALA LUMPUR 26 Feb. – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sanggup melepaskan enam tonggak bagi menghadapi Piala Airmarine bulan depan kerana menganggap Datuk Ong Kim Swee lebih memerlukan mereka dalam kelayakan Piala AFC Bawah 23 (B-23).

Selepas gagal membawa skuad terbaik dalam Piala AFF B-22 di Kemboja hingga menyebabkan Malaysia tersingkir seawal peringkat kumpulan, Kim Swee berharap dapat menurunkan barisan terkuat apabila Stadium Shah Alam menjadi venue Kumpulan J, kelayakan Piala AFC B-23 dari 22-26 Mac.
Piala AFC B-23 dianggap penting kerana menjadi pentas untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Berita berkaitan:
Juara kumpulan (kelayakan) layak ke pusingan akhir di Bangkok pada 8-26 Januari tahun depan manakala empat pasukan terbaik di Thailand akan meraih tiket Olimpik.
Piala Airmarine yang melibatkan Malaysia, Kepulauan Solomon, Singapura dan Oman pula akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 20-23 Mac.
Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018, Safawi Rashid serta Akhyar Rashid antara pemain yang terpaksa dilupakan Cheng Hoe, selain tiga lagi tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Syazwan Andik Ishak, Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba serta Syahmi Safari dari Selangor.

“Kemungkinan besar tidak akan panggil mereka. Ya (ada perbincangan) maka tiada isu berkaitan perebutan pemain.
“Kalau ikutkan kita juga (perlu pemain) untuk naikkan ranking. Ketiadaan mereka mungkin menjejaskan momentum tetapi dari sudut positif, kita boleh uji muka baharu.
“Lebih tiga bulan kita tidak bermain bersama, harap apabila dipanggil semula pemain dapat mengekal momentum seperti pada Piala AFF tahun lalu,” kata Cheng Hoe kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, Piala Airmarine adalah medan terbaik untuk Malaysia mengelak saingan playoff dalam kelayakan Piala Dunia.
Syarat untuk tidak beraksi dalam aksi playoff, Harimau Malaya perlu berada dalam kelompok ke-34 terbaik ranking Asia, dan ketika ini Malaysia menghuni kedudukan ke-35.











