KUALA LUMPUR 25 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa supaya tindakan pendakwaan berkaitan kes menghina Nabi Muhammad S.A.W dan isteri baginda, Saidatina Aisyah dipercepatkan.
Naib Wira Perkasa Malaysia, Syed Mohd. Shahriman Syed Badrishah berkata, tindakan menghina yang dilakukan pemilik Facebook, Foo Sing Wai adalah sesuatu yang serius dan mengundang kemarahan umat Islam.
“Kegagalan pendakwaan segera akan mendorong umat Islam terus marah dan berang serta boleh menggugat keselamatan negara.
“Perkasa tidak mahu mendengar alasan retorik kerana bukti sudah jelas,” katanya.
Shariman berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum desakan dakwaan segera terhadap Foo Sing Wai kepada seorang wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) di hadapan Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Tambahnya, Perkasa amat kesal dengan kejadian penghinaan terhadap Islam yang banyak berlaku sejak kebelakangan ini dan polis perlu bertindak segera tanpa perlu ada pengaruh politik. – UTUSAN ONLINE











