JASIN 24 Feb. – Dua lelaki melecur hampir 50 peratus selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kampung Bukit Katong, Jalan Rim di sini pagi ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu mengakibatkan D. Satiskumaran, 27, yang memandu kereta jenis Proton Wira dan rakannya, D. Sathiamurthi, 31, melecur di bahagian badan dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Jasin.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.05 pagi dan sepasukan 10 anggota diketuai Pegawai Bomba Reduan Hassan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin bergegas ke lokasi kemalangan.
“Setiba di lokasi, pihak bomba mendapati kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan masing-masing. Penumpang dikeluarkan oleh orang awam manakala pemandunya tersepit dan dikeluarkan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, kereta dinaiki dua lelaki itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu seorang lelaki, Mohd. Haizan Kandis, 35, yang hanya mengalami kecederaan ringan.
“Ketika kejadian kereta Proton Wira dinaiki mangsa dari arah Chabau menghala ke Rim bertembung dengan kereta Honda Accord dari arah bertentangan.
“Kemalangan itu menyebabkan dua lelaki dalam kereta Wira melecur dan mengalami kecederaan manakala pemandu Accord hanya cedera ringan,” katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











