Adik tikam kakak hingga mati sebab selisih faham - Utusan Malaysia

Adik tikam kakak hingga mati sebab selisih faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Hanya kerana selisih faham, seorang lelaki bertindak menikam kakaknya berusia 56 tahun beberapa kali sehingga mati dalam kejadian yang berlaku di Kampung Kemanusur, Bentong dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Otman Nayan berkata, mangsa, Fan Suik Moi meninggal dunia di Hospital Temerloh selepas hampir lapan jam kejadian itu berlaku akibat pendarahan yang serius di beberapa kawasan tikaman di badannya.

“Polis sebelum itu menerima laporan pada pukul 10.30 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terdapat satu kes pergaduhan melibatkan adik beradik di sebuah rumah di Kampung Kemansur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika kejadian terdapat anggota keluarga lain di rumah itu yang cuba menghalang suspek berusia 55 tahun daripada bertindak menikam kakaknya dengan menggunakan sebilah pisau, namun gagal.

“Mangsa kemudian dihantar oleh jiran ke Hospital Daerah Bentong untuk mendapatkan rawatan, sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) akibat kecederaan parah yang dialami, bagaimanapun mangsa disahkan telah meninggal dunia pada pukul 6 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati pergaduhan berkenaan berpunca daripada pertengkaran dan perselisihan faham di antara mangsa dan suspek.

Menurutnya, berikutan itu polis telah menahan adik mangsa serta merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kes pergaduhan itu untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Katanya, bedah siasat juga akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×