Perlis tawarkan pelbagai destinasi eko pelancongan - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Perlis tawarkan pelbagai destinasi eko pelancongan – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 24 Feb. – Perlis menawarkan pelbagai destinasi eko pelancongan berpotensi menarik yang harus dilawati para pengunjung yang bertandang ke negeri ini.

Antaranya ialah ‘rock climbing’ di Bukit Keteri, Taman Negeri Wang Kelian, Gua Kelam Kaki Bukit, Gua Wang Burma, Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat serta Hutan Lipur Bukit Kubu.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu kenyataan akhbar selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis 4.0 di London yang diadakan di Putera Puteri Cafe, London malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Chef Mohamed Nasir Abdul Rahim dan isteri.

Berangkat sama ialah anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Restoran yang terkenal dengan nasi campur tersebut diusahakan oleh Nasir berasal dari Pulau Pinang bersama rakan kongsinya Azlan Shah Jaffril sejak bulan Ogos 2017 di Inverness Place, Queensway, Bayswater.

Tambah baginda, selain sektor pelancongan eko, Perlis juga memiliki beberapa lokasi pelancongan rekreasi yang boleh dilawati seperti yang terdapat di Dataran Terinai Tasoh, Dataran Keris Kangar, Tasik Melati, Batu 20, Pengkalan Asam, Bukit Jernih dan juga Bukit Cenderawasih.

Promosi bagi memperkenalkan lagi negeri Perlis di mata dunia pada kali ini dianjurkan oleh YTSP Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama restoran tersebut dari 23 hingga 28 Februari 2019 bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Antara juadah yang disajikan ialah laksa selain ikan asam pedas, masak lemak rebung dan ikan bakar.

Sebelum ini beberapa restoran milik warga Malaysia lain juga pernah mengadakan program yang sama di kotaraya London ini seperti Bunda (2011), Tuk Din (2012) dan Rasa Sayang (2013). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×