Dua lelaki maut kereta dilanggar Toyota Hilux - Utusan Malaysia

Dua lelaki maut kereta dilanggar Toyota Hilux

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN – Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan lasak pacuan empat roda di Kilometer 16.5 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa, A. Maheshwara Rao, 26, dan M. Shasissegar, 25, masing-masing berasal dari Hutan Melintang itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Hutan Melintang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki 23 tahun pula dalam perjalanan dari arah Sabak Bernam menghala ke Teluk Intan.

“Tiba di tempat kejadian, Maheshwara dipercayai gagal mengawal keretanya ketika membelok ke kanan untuk memasuki simpang ke Hutan Melintang dan pada masa sama Toyota Hilux tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mohd. Marzukhi, akibat kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang Perodua Myvi itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu serta seorang penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×