KUALA LUMPUR 24 Feb. – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin harap rakyat tidak membaca tajuk sahaja berhubung cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menstruktur semula kutipan tol empat lebuh raya dalam bandar yang diumumkan semalam.
Katanya, persoalan harus dilontarkan kepada kerajaan berhubung cadangan berkenaan sama ada ia benar-benar akan dinikmati rakyat atau tidak, selain kos-kos yang perlu ditanggung untuk melaksanakan pengambilalihan tersebut.
“Siapa yang pakai dari pukul 11 malam hingga 5 pagi. Sebaliknya waktu puncak rakyat dikenakan bayaran kesesakan.
“Kalau kita hanya baca tajuk utama sahaja, maka kita akan sorak kononnya PH menghapuskan tol. Jangan hanya melihat tajuk besar. Kena mesti jadi rakyat dan pengundi yang kritis dan bertanya semula,” katanya dalam ceramah yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi Hulu Semenyih dekat sini malam tadi.
Pejabat Perdana Menteri semalam dalam kenyataan menjelaskan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang dikuasai syarikat tersebut.
Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.
Mengikut cadangan pengambilalihan, kadar tol akan dihapuskan pada waktu bukan puncak antara pukul 11 malam hingga 5 pagi. – UTUSAN ONLINE











