KUALA LUMPUR 24 Feb. – Rakyat di negara ini digesa agar menghentikan segala perkara yang boleh menyebabkan perpecahan antara kaum serta menjauhkan diri daripada mereka yang gemar membuat kenyataan provokatif.
Gesaan itu disuarakan oleh Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan, Tan Sri Lee Lam Thye yang turut menegaskan agar masyarakat menjauhkan diri daripada segala perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan atau penghinaan terhadap sesuatu kaum atau agama.
“Kita harus menumpukan kepada usaha mewujudkan lebih banyak ‘peristiwa perpaduan’ untuk memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam negara.
“Sebagai contoh, kita boleh menganjurkan aktiviti komuniti dengan menjemput masyarakat sekitar mengambil bahagian dalam aktiviti seperti gotong-royong, program pencegahan jenayah, kempen antidadah atau hari kesedaran alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara itu disampaikan Lam Thye dalam majlis makan malam Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Penduduk Taman Sri Maharani, Muar, Johor di sini semalam.
Menurut Lam Thye, rakyat harus mencontohi komuniti di taman tersebut yang mampu melaksanakan program pencegahan jenayah dan perpaduan dengan baik.
Kawasan perumahan yang mempunyai 170 rumah itu dibuka pada tahun 1972 dan lebih 60 peratus penduduknya adalah bekas pesara dan pegawai kerajaan.
“Apabila saya melawat kawasan kejiranan Taman Sri Maharani pada 2017, saya amat kagum melihat Jalur Gemilang turut dikibarkan di setiap rumah semasa bulan kemerdekaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah, turut menggesa orang ramai agar sentiasa mengambil berat tentang jiran sekeliling mereka serta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membantu mengekalkan tahap keselamatan di kawasan masing-masing.
Jelasnya, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka melakukan perkara sama kerana dapat membantu mereka memainkan peranan dengan lebih baik sebagai rakyat yang bertanggungjawab.
“Kita perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dan langkah sama juga harus diwariskan kepada generasi akan datang.
“Jika kita menjaga dan membantu orang lain di kawasan kita, saya pasti persekitaran yang kondusif dapat dibentuk,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











