KUALA LUMPUR 23 Feb. – Soong Joo Ven enggan terlalu gembira dengan kejayaan merangkul kejuaraan kebangsaan buat kali pertama, apatah lagi kemenangan diraih agak mudah.
Bekas juara remaja Asia itu menang 21-13 di set pertama, sebelum lawannya, Leong Jun Hao menarik diri di set kedua pada kedudukan 1-7 akibat kecederaan dalam final perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, pilihan utama, Lee Zii Jia tewas mengejut pada pusingan kedua manakala pilihan kedua, Liew Daren menarik diri pada peringkat awal akibat kecederaan, sekali gus menjadikan laluan Joo Ven, 23, tidak begitu teruji.
“Memang saya gembira dan akan jadikan kejayaan ini sebagai perangsang untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa selepas ini.
“Peluang (gelaran antarabangsa) ada tetapi bergantung kepada prestasi semasa,” katanya.
Dalam perseorangan wanita, Soniia Cheah mempertahankan gelaran selepas menundukkan Goh Jin Wei 21-10, 21-14 manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin muncul juara beregu lelaki menewaskan Aaron Chia-soh Wooi Yik 21-12, 21-19.
Anna Cheong-Lim Chiew Sien pula mengalahkan Cheah Yee See-Teoh Mei Xing 23-21, 21-17 bergelar juara beregu wanita.
Naib juara Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menundukkan pasangan Hoo Pang Ron-Shevon Lai 17-21, 21-13, 21-19 untuk merangkul kejuaraan beregu campuran.











