BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya membuktikan status mereka selaku pasangan No. 1 negara apabila meraih gelaran juara pada Kejohanan Badminton Kebangsaan yang menutup tirainya di Kompleks Sukan Ipoh, Perak semalam.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu bagaimanapun bermandi peluh ketika berdepan Hoo Pang Ron-Shevon Lai Jemie yang menyaksikan perlawanan terpaksa diheret hingga set penentuan yang berkesudahan 17-21, 21-13, 21-19.
Ia merupakan gelaran kebangsaan kedua milik pasangan tersebut selepas kali terakhir memenanginya pada 2011.
Menerusi perlawanan lain pada sebelah pagi, juara remaja wanita dunia sebanyak dua kali, Goh Jin Wei dilihat bukan berada pada prestasi meyakinkan apabila tewas mengejut kepada juara bertahan, Soniia Cheah dengan keputusan straight set 21-10, 21-14.
Sementara itu, bagi acara beregu lelaki, gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berjaya mencatatkan gelaran hatrik peringkat kebangsaan apabila mudah menundukkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-12, 21-19.
Pasangan yang berada di kedudukan ke-23 dunia itu pernah merangkul gelaran juara pada edisi 2016 dan 2017.
Bagi acara perseorangan lelaki pula, Soong Joo Ven merangkul gelaran sulungnya apabila menang percuma ke atas Leong Jun Hao yang menarik diri pada babak kedua perlawanan ekoran kecederaan.
“Saya sangat gembira dapat menjuarai kejohanan ini tapi saya tidak boleh berpuas hati dengan kemenangan ini dan akan teruskan usaha untuk menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa pula,” kata Joo Ven.











