Kaji sebelum kecilkan - Utusan Malaysia

Kaji sebelum kecilkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 23 Feb. – Kerajaan perlu mengkaji semula cadangan untuk me­ngurangkan penjawat awam yang dikatakan melebihi keperluan berasaskan situasi semasa.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pihaknya berharap kerajaan membuat kajian yang terpe­rinci sebelum melaksanakan cadangan tersebut apatah lagi majoriti kakitangan awam adalah orang Melayu.

Beliau berkata, cadangan mengecilkan jumlah penjawat awam mungkin akan menambahkan kadar pengangguran namun kerajaan pastinya mempu­nyai pendekatan yang lebih strategik.

Memuatkan artikel berkaitan…

‘‘Sebagai kerajaan semasa yang memerintah semestinya peluang pekerjaan kepada rakyat menjadi fokus utama dan kita mesti tahu bahawa pengambilan penjawat awam bukan diputuskan ahli politik,’’ katanya di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan jumlah penjawat awam ketika ini terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Kata Perdana Menteri, jumlah penjawat awam hanya satu juta ketika beliau meletakkan jawatan tetapi kini mencecah 1.7 juta.

Kamarudin berkata, peningkatan itu mungkin dilihat sebagai mendadak tetapi mungkin berlaku kerana keperluan kerajaan ketika itu.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Melaysia (Perkasa) berpendapat, pengurangan saiz penjawat awam akan menyebabkan jumlah pengangguran meningkat terutama kaum Melayu.

Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, perban­dingan yang dibuat Dr. Mahathir ketika melepaskan jawatannya semasa menjadi Perdana Menteri Keempat dengan keadaan semasa adalah tidak adil.

‘‘Dalam tempoh 15 tahun lalu, pe­luang pendidikan meningkat, gra­duan yang cemerlang semakin ramai manakala teknologi berkembang pesat, tetapi dari segi perkhidmatan, kerajaan masih tidak mampu menangani masalah rakyat mengakibatkan lebih ramai penjawat awam diperlukan.

“Sebagai contoh, pemantauan harga barang di kedai runcit yang naik dan turun sesuka hati. Sehingga hari ini ia tak mampu diselesaikan kerana kurangnya penguat kuasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan,’’ ujarnya.

Justeru, Perkasa menyarankan kerajaan bertindak lebih bijak dalam menangani isu kewangan negara dan elakkan daripada mengeluarkan kenyataan serta melakukan perkara yang membuatkan pelabur asing takut untuk me­labur di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×